RIYADH, Arab Saudi, July 21, 2026 (GLOBE NEWSWIRE) — Pencapaian perubatan dunia pertama tercapai apabila seorang bapa mengambil keputusan mendermakan sebahagian daripada hatinya demi menyelamatkan anaknya. King Faisal Specialist Hospital and Research Centre (KFSH) telah mencatat sejarah dengan kejayaan melaksanakan pemindahan hati dunia pertama menggunakan sistem robotik port tunggal. Pembedahan ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mengalami episod berulang kegagalan hati akut, sekali gus menandakan lonjakan besar dalam pembedahan robotik invasif minimum bagi bidang pemindahan organ pediatrik yang memerlukan ketepatan tinggi dan bersifat kompleks.
Pemindahan hati ini menjadi kenyataan selepas bapa kanak-kanak tersebut mendermakan lobus kiri hatinya — satu keputusan yang memberikan harapan baharu kepada keluarga itu selepas melalui perjalanan panjang yang penuh kebimbangan dengan penyakit anak mereka. Prosedur tersebut berjaya disempurnakan dan kanak-kanak itu menunjukkan pemulihan awal yang baik. Cantuman hati tersebut bukan sahaja berfungsi dengan sempurna, malah tiada komplikasi yang dikesan.
Pesakit tersebut menghidap Sindrom Wolcott-Rallison, iaitu satu gangguan genetik jarang berlaku yang menyebabkan diabetes bermula pada usia awal serta episod kegagalan hati akut yang berulang, sekali gus meletakkannya pada risiko berulang yang mengancam nyawa. Pemindahan tersebut telah menangani komplikasi paling serius penyakit itu, sekali gus memberikan pesakit peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih stabil serta meringankan beban perubatan dan emosi yang ditanggung oleh dirinya dan keluarganya. Pesakit akan terus dipantau bagi keadaan genetik asasnya serta diabetes yang berkaitan.
Sistem robotik port tunggal membolehkan pakar bedah memperkenalkan instrumen pembedahan berketepatan tinggi dan kamera 3D berdefinisi tinggi melalui satu hirisan kecil, berbeza dengan pembedahan robotik multi-port konvensional yang memerlukan beberapa titik akses. Melalui port tunggal ini, pakar bedah telah melaksanakan peringkat pemindahan yang paling halus di dalam tubuh seorang kanak-kanak kecil — medan pembedahan yang sempit dan menuntut pengendalian yang amat tepat terhadap salur darah serta salur hempedu — sekali gus membantu mengurangkan impak pembedahan, meringankan kesakitan, serta memendekkan tempoh pemulihan dan masa rawatan di hospital.
Prof. Dieter Broering, selaku Pengarah Eksekutif Organ Transplant Center of Excellence (Pusat Kecemerlangan Pemindahan Organ) dan ketua pasukan pembedahan, berkata bahawa kejayaan prosedur seumpama ini tidak hanya bergantung kepada ketersediaan teknologi semata-mata, tetapi juga pada pemilihan pesakit yang teliti, perancangan pembedahan yang rapi, serta pasukan yang berpengalaman dalam setiap peringkat pemindahan. Beliau menekankan bahawa nilai sebenar inovasi pembedahan terletak pada penggunaan teknologi untuk meringankan beban pesakit dan keluarga mereka, sambil mengekalkan piawaian keselamatan yang tertinggi.
Pencapaian ini berlandaskan laluan perintis yang dimulakan oleh KFSH pada tahun 2023 dengan pemindahan hati robotik sepenuhnya yang pertama di dunia. Sejak itu, program tersebut berkembang pesat, dengan 165 kes dilaksanakan setakat ini dan disokong oleh lebih daripada 1,700 reseksi hati penderma hidup yang menggunakan teknologi robotik. Kepakaran yang terkumpul ini mencerminkan keupayaan KFSH untuk menjadikan pencapaian bersejarah sebagai program klinikal maju yang mengubah perjalanan hidup seluruh keluarga. Ia turut memperluas penggunaan teknologi robotik dalam pembedahan pemindahan yang sangat kompleks, sekali gus memperkukuh kedudukan Arab Saudi dalam inovasi perubatan dan kecemerlangan penjagaan kesihatan.
King Faisal Specialist Hospital and Research Centre telah menduduki tempat pertama di Timur Tengah dan Afrika serta ke-12 di peringkat global dalam senarai 250 pusat perubatan akademik terkemuka dunia bagi tahun 2026. King Faisal Specialist Hospital and Research Centre turut diiktiraf sebagai jenama penjagaan kesihatan paling bernilai di Kerajaan Arab Saudi dan Timur Tengah bagi tahun 2026 oleh Brand Finance. Ia juga disenaraikan oleh Newsweek antara World’s Best Hospitals, World’s Best Smart Hospitals serta World’s Best Specialized Hospitals bagi tahun 2026.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.kfshrc.edu.sa atau hubungi pasukan media kami di mediacoverage@kfshrc.edu.sa
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/f717fac0-6fc6-4f96-add8-64cc956115c9


