CGTN telah menerbitkan sebuah artikel mengenai penghantaran pulang Manuskrip Sutera Chu, iaitu khazanah budaya China berusia lebih 2,000 tahun yang kini tersimpan di Amerika Syarikat. Artikel ini menelusuri perjalanan artifak tersebut dari titik masa penemuannya dalam sebuah makam purba pada tahun 1942, sehingga diseludup ke Amerika pada tahun 1946 oleh seorang pengumpul, John Hadley Cox. Artikel tersebut membentangkan bukti kukuh daripada sarjana-sarjana China dan Amerika yang mengesahkan bahawa manuskrip bersejarah ini sememangnya hak milik China.
Manuskrip Sutera Chu bertarikh sekitar tahun 300 SM /CMG
BEIJING, May 01, 2025 (GLOBE NEWSWIRE) — Pada musim sejuk tahun 1942, beberapa penjarah makam di Changsha, Wilayah Hunan di China Tengah menyasarkan penjarahan sebuah makam purba dari zaman Negara-Negara Berperang (475–221 SM). Mereka menceroboh tapak pengebumian negara Chu dan mencuri pelbagai artifak berharga, termasuk barangan lakuer, pedang gangsa dan manuskrip sutera.
Ketika menjual barang curi tersebut kepada Tang Jianquan, seorang tukang jahit yang kemudiannya menjadi peniaga barang antik, penjarah makam itu sengaja memasukkan sebuah bekas buluh dengan sekeping sutera yang mereka rujuk sebagai “sapu tangan” sebagai bonus percuma. “Sapu tangan” ini kemudiannya dikenal pasti sebagai Manuskrip Sutera Chu dari Zidanku yang merupakan satu-satunya teks sutera yang diketahui dari zaman Negara-Negara Berperang di China. Zidanku yang bermaksud “gudang peluru” secara harfiah merujuk kepada tapak penggalian yang merupakan sebuah gudang peluru di pinggir bandar.
Manuskrip Sutera Chu merekodkan kosmologi dan ritual awal masyarakat China. Ia berusia sekitar 2,300 tahun, iaitu lebih satu abad lebih tua daripada Naskhah Gulungan Laut Mati. Teks yang rumit, ilustrasi yang terperinci, serta kehalusan kerja tangan menjadikan masnuskrip itu satu artifak yang tiada tandingan.
Tragedi budaya
Pada masa itu, Tang tidak dapat mengenal pasti betapa bernilainya sutera tersebut. Seorang peniaga tempatan, Cai Jixiang telah membeli manuskrip itu bersama beberapa artifak lain. Cai sangat menghargai artifak yang dibelinya dan membawanya bersama sekalipun semasa melarikan diri daripada kekalutan perperangan.
Pada tahun 1946, Cai membawa manuskrip tersebut ke Shanghai dengan niat untuk mengambil gambar inframerah untuk menjelaskan teks yang telah pudar. Di Shanghai, pengumpul Amerika bernama John Hadley Cox yang aktif mengumpul artifak China di Shanghai telah mendekati Cai. Dengan alasan kononnya ingin membantu urusan fotografi, Cox berjaya mendapatkan dan menyeludup manuskrip tersebut ke Amerika Syarikat.
Setelah menyedari dirinya diperdaya, Cai hanya mampu menandatangani kontrak yang tidak mempunyai kuasa dengan Cox, yang menilai manuskrip tersebut pada harga $10,000 dengan deposit pendahuluan sebanyak $1,000, serta janji bahawa bakinya akan diserahkan kepada Cai sekiranya manuskrip itu tidak dikembalikan dari Amerika. Begitulah cara manuskrip itu mula dipindahkan ke luar China selama 80 tahun.
Kesepakatan antara sarjana China dan Amerika
Profesor Li Ling dari Universiti Peking telah menghabiskan lebih empat dekad untuk menelusuri perjalanan penuh liku artifak ini. Penyelidikannya yang mendalam telah berjaya membina rantaian bukti yang lengkap yang membuktikan bahawa manuskrip yang kini disimpan di Smithsonian’s National Museum of Asian Art sebenarnya ialah Manuskrip Sutera Chu dari Zidanku.
Surat sampingan antara Cai dan Cox mendedahkan lagi penipuan di sebalik pemindahan manuskrip tersebut. Dalam surat-surat itu, Cai merayu agar Cox datang ke Shanghai serta menuntut pembayaran baki sebanyak $9,000 bagi manuskrip tersebut, namun tidak berhasil.
Di International Conference on the Protection and Return of Cultural Objects Removed from Colonial Contexts yang diadakan pada Jun 2024 di Qingdao, Profesor Donald Harper dari Universiti Chicago menyerahkan bukti penting berupa penutup asal kotak yang digunakan oleh Cox untuk menyimpan manuskrip tersebut pada tahun 1946. Penutup itu mengandungi label asal dan rekod resit yang selari dengan garis masa penyimpanan manuskrip oleh Li antara tahun 1946 dan 1969.
Harper menyatakan, “Hakikatnya telah jelas bagi kurator muzium, pihak berkuasa kebudayaan dan kerajaan bahawa Manuskrip Sutera Zidanku ialah milik China dan sewajarnya dikembalikan kepada China.”
Sebuah artikel yang diterbitkan oleh New York Times pada tahun 2018 berjudul “How a Chinese Manuscript Written 2,300 Years Ago Ended Up in Washington” mengesahkan kesimpulan ini.
Kepulangan yang tertunda
Pada tahun 1966, seorang doktor dan pengumpul seni dari Amerika, Arthur M. Sackler telah membeli sebahagian daripada manuskrip tersebut dan sebenarnya telah berusaha untuk mengembalikannya ke China beberapa kali. Pada tahun 1976, beliau merancang untuk menyerahkan manuskrip itu kepada sarjana China, Guo Moruo, namun pertemuan mereka tidak pernah berlaku disebabkan oleh penyakit yang dialami Gou. Pada tahun 1980-an, beliau berharap agar dapat menyumbangkan manuskrip itu kepada Muzium Sackler yang baru di Universiti Peking, namun tidak berkesampaian kerana beliau meninggal dunia sebelum muzium itu dibuka.
Selepas kematian Dr. Sackler pada tahun 1987, manuskrip itu ditempatkan di Sackler Gallery di Washington, D.C., yang kini menjadi sebahagian daripada National Museum of Asian Art. Laman web muzium tersebut menyenaraikan artifak itu sebagai “hadiah tanpa nama” dan “penyelidikan asal usul sedang dijalankan.” Ia turut memetik buku tulisan Li Ling sebagai rujukan, sekaligus mengiktiraf kesahihan penyelidikan beliau.
Daripada kontrak Cai hingga surat-menyuratnya dengan Cox, daripada dokumentasi Li mengenai perjalanan manuskrip di Amerika hingga hasrat Sackler yang tidak tertunai, kesemua bukti ini mengesahkan bahawa Manuskrip Sutera Chu ialah hak milik China dan harus segera dikembalikan ke China tanpa bertangguh.
Selepas hampir lapan dekad disimpan di luar China, khazanah negara ini akhirnya perlu kembali ke tempat asalnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila klik:
https://news.cgtn.com/news/2025-04-29/Why-the-Chu-Silk-Manuscripts-should-be-returned-to-China-1CYkLmp3luM/p.html
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di:
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/c6dd904d-7e88-4ba9-b83c-fa3e465d93a5
